Perbuatan Tersalah Yang Tidak Membatalkan Solat

SOALAN :

Saya mohon penjelasan berkenaan perbuatan yang tersalah dilakukan oleh orang yang solat manakah sempadan batal dengan tidak batalnya?

Minta penjelasan juga tentang tersalah sujud tiga kali atau tersalah melangkah dari tempat solat.

JAWAPAN :

Perbuatan yang dilakukan oleh orang yang tersalah itu ada beberapa jenis.

Jika perbuatan tersebut adalah dari jenis perbuatan solat seperti rukuk dan sujud maka jika tersalah rukuk atau tersalah sujud maka tidak membatalkan solat sekali pun banyak. Contohnya seorang yang sudah rukuk kemudian dalam keadaan lupa dia rukuk sekali lagi atau sudah sujud dua kali tetapi dengan sebab lupa dia sujud sekali lagi menjadi tiga kali sujud maka tidak membatalkan solat dari kerana tersalahnya itu.

Begitu juga jika tersalah solat subuh misalnya sampai tiga rakaat maka tidak batal solatnya itu.

Jika perbuatan yang tersalah itu bukan dari jenis perbuatan solat seperti melambai tangannya kepada orang yang lalu dihadapannya maka sekali tersalah melambai itu tidak membatalkan solat dan jika tiga kali tersalah melambai tangan itu maka membatalkan solat.

Perbuatan yang banyak yang membatalkan solat itu disyaratkan tiga kali berturut-turut oleh itu jika sekali melangkah kemudian berhenti kemudian sekali lagi melangkah kemudian berhenti kemudian sekali lagi melangkah maka tidak membatalkan kerana tidak berturut-turut. Misalnya sebegini biasanya berlaku kepada makmum yang hendak melangkah masuk ke saf hadapan atau menggantikan imam.

Telah menyebut oleh Imam Abu Bakr Taqiyudin Al-Husaini As-Syafie :

“Ketahui olehmu sungguhnya perbuatan yang lebih jika adalah perbuatan itu dari jenis perbuatan solat seperti rukuk dan sujud dan tambah rakaat jika sengaja melakukan yang demikian itu nescaya batal solat samada sedikit perbuatan yang lebih itu atau banyak. Dan jika adalah perbuatan itu bukan dari jenis perbuatan solat maka sepakat oleh ashab atas bahawasanya sedikit tidak membatalkan dan kalau banyak membatalkan.

Dan tanda sedikit dan banyak perbuatan itu ada beberapa wajah.

Wajah yang sahih ialah mengembalikannya kepada kebiasaan.

Maka tidaklah membatalkan perbuatan yang kebiasaannya manusia menganggapnya sedikit seperti isyarat menjawab salam dan menanggalkan kasut dan seumpama keduanya.

Kemudian berkata ashab perbuatan yang sekali seperti melompat dan memukul diputuskan sebagai sedikit dan tiga kali diputuskan sebagai banyak manakala perbuatan dua kali dianggap sedikit menurut pendapat yang paling sahih.

Dan sepakat oleh ashab atas bahawasanya perbuatan yang banyak hanya membatalkan apabila berturut-turut. Maka jika tidak berturut-turut seperti melangkah sekali kemudian selepas itu melangkah sekali lagi dan berulang ia sampai tiga langkah maka diputuskan sebagai tidak membatalkan.

Dan hendaklah kamu ketahui bahawa disyaratkan perbuatan sekali yang tidak membatalkan solat itu ialah perbuatan yang tidak keji rupanya maka jika perbuatan yang kelihatan keji rupanya seperti sekali melompat yang buruk rupanya nescaya ia membatalkan solat. Telah menyebutnya oleh Imam Nawawi di dalam kitab Ar-Raudhah kerana perbuatan tersebut sudah menafikan rupa yang yang sedang solat.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Yang dimaksudkan perbuatan yang banyak ialah perbuatan dengan anggota berat seperti menggerakkan kaki dan tangan dan kepala dan badan.

Ada pun perbuatan yang sedikit atau disebut sebagai anggota ringan seperti menggerakkan jari atau kelopak mata maka tidak membatalkan sekali pun berturut-turut.

wallahua’lam
ustaz azhar idrus

والله أعلمُ

Mudah-mudahan perkongsian ini mendapat manfaat kita bersama. Kongsikan kepada keluarga dan sahabat-sahabat anda !

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.

صحيح مسلم ، كتاب الإمارة ، باب فضل إعانة الغازي في سبيل الله بمركوب وغيره، وخلافته في أهله بخير ، حديث رقم 1893

Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata : Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.” (Hadis Riwayat Muslim : 1893)

Like dan Follow kami di @genganakmuda dan @viralmalaysiaku

Disediakan oleh : abunur@vmk
Sumber : ustaz azhar idrus

Related articles