Pengetua Sekolah Jadi ‘Rider Grab’ Demi Kutip Dana Sekolah Agama Buat Netizen Tersentuh

KREATIF dan ‘makan dalam’! Usaha seorang pengetua sekolah ini yang mahu merancakkan dana sumbangan untuk pembinaan dewan terbuka memang membuatkan ramai terkedu.

Entah apa yang mendorong hari lelaki ini yang dikenali sebagai Haji Aedil Mat yang berusia 53 tahun, beliau sanggup menjadi rider Grab untuk menambah dana pembinaan kemudahan Sekolah Agama Menengah (SAM) Jeram, Kuala Selangor, Selangor yang berjumlah RM362,000.

Usaha murni Haji Aedil itu mendapat perhatian ramai selepas dimuat naik menerusi media sosial baru-baru ini.

Pelbagai komen positif yang diberikan kepadanya termasuk pihak sekolah yang bersungguh-sungguh menjayakan misi dana sumbangan prasarana sekolah.

Haji Aedil ketika dihubungi SinarPlus memaklumkan, gimik pelancaran dengan gaya seorang rider Grab ternyata memberi impak kepada semua.

“Bila tersebar gambar itu, ramai yang bertanyakan hal tersebut sehinggakan saya tak sempat nak jawab satu-satu. Sebenarnya itu gimik untuk pihak sekolah merancakkan sumbangan dana walaupun hanya RM5.

“Setakat ini, kami berjaya mengumpulkan sebanyak RM167,000 sejak 30 September lalu dan akan mempergiatkan lagi usaha mencari dana sehingga cukup,” ujarnya yang memaklumkan penangan Co-vid- 19 sedikit sebanyak melambatkan proses pembinaan SMA Jeram.

Hajie Aedil yang juga pengetua sekolah itu sejak 2017 berkata, jadual pembinaan sepatutnya sudah boleh dimulakan, namun disebabkan pandemik vi-rus coro-na ditambah dengan kekangan lain, ia terpak-sa ke tarikh yang akan diumumkan kelak dijangka dua bulan lagi.

“Pun begitu, kami bersyukur kelulusan yang diperlukan sudah ada dan menunggu untuk proses seterusnya. Insya-ALLAH jika siap nanti, dewan terbuka ini akan memberi manfaat kepada 825 pelajar sekolah.

“Untuk sementara waktu, pihak sekolah guna surau sebagai tempat untuk berkumpul buat sementara waktu. Dewan terbuka itu nanti banyak kegunaannya termasuk aktiviti kokurikulum dan sebagainya.

“Justeru, saya mengajak semua masyarakat untuk bersama-sama membangunkan prasarana sekolah demi kemudahan dan keselesaan anak-anak walaupun hanya RM1,” katanya.

Bagus juga idea sekolah ini, bukan ‘biashe-biashe’ gimik yang digunakan mereka untuk tarik perhatian orang ramai.

So? Apa tunggu lagi? Jomlah berinfaq demi bekalan kita ke syurga nanti. Insya-ALLAH. ─ Sinar Plus

Related articles