Sungai Besar : Perjalanan dua lelaki masing-masing merupakan pegawai dan anggota tentera ke Port Dickson, Negeri Sembilan bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 48 Jalan Teluk Intan-Klang, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, kedua mangsa yang berusia 28 dan 49 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata menerima panggilan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) memaklumkan terdapat satu kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Pesona dan lori Isuzu yang merupakan lori penyelenggara jalan pada jam 3.20 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa berpangkat Leftenan Kolonel dan Lans Koperal yang berkhidmat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah dalam perjalanan dari Lumut, Perak.
Ketika kejadian berlaku sebuah lori isuzu yang dipandu oleh seorang lelaku berusia 35 tahun dipercayai memandu dalam keadaan mengundur untuk mengutip kon selepas selesai menjalankan kerja-kerja pembersihan.
Setiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki kedua-dua mangsa gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Agus Salim berkata, akibat perlanggaran itu, pemandu kereta yang juga Lans Koperal dan penumpang berpangkat Leftenan Kolonel mengalami cedera parah di bahagian kepala dan maut ditempat kejadian.
Sementara, pemandu lori tidak mengalamai apa-apa kecederaan.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemeriksaan polis mendapati di tempat kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV).
Manakala permukaan jalan empat lorong dua hala berkenaan kering dan cuaca juga tidak hujan.