Nak Buat Pecah Bahagian Tanah, Tapi Pemilik Bersama Tak Setuju. Bagaimana Nak Buat?

Antara masalah yang biasa timbul apabila seseorang pemilik tanah pertanian geran pemilikan bersama ingin membuat pecah bahagian tanah tersebut adalah tiadanya persetujuan daripada kesemua pemilik bersama yang lain.

Tak kiralah tiada persetujuan itu disebabkan memang mereka tak setuju nak buat pecah bahagian atau mereka ini tak dapat dikesan atau lain-lain sebab.

Sekiranya ini berlaku, apakah yang patut dilakukan?

ADVERTISEMENT

1. Sebenarnya S.141A Kanun Tanah Negara membenarkan sekiranya mana-mana pemilik bersama sesuatu tanah pertanian geran pemilikan bersama ingin membuat pecah bahagian tanah, mereka boleh memohon untuk kelulusan pecah bahagian, walaupun pemilik-pemilik bersama yang lain tidak bersetuju untuk buat pecah bahagaian atau terdapat pemilik bersama yang tidak dapat dikesan atau sebagainya.

2. Jadi mereka boleh sahaja submit permohonan tersebut di pejabat tanah. Sebaik sahaja menerima permohonan pecah bahagian tadi, pentadbir tanah akan menghantar notis kepada kesemua pemilik bersama yang lain ke alamat terakhir yang diketahui untuk memaklumkan tentang cadangan pecah bahagian oleh salah seorang pemilik bersama tersebut.

3. Pemilik bersama yang lain dikehendaki mengemukakan apa-apa bantahan secara bertulis dalam tempoh 28 hari daripada tarikh penyampaian notis tersebut sekiranya tidak bersetuju dengan permohonan pecah bahagian salah seorang pemilik bersama tadi.

4. Setelah habis tempoh 28 hari tersebut, sekiranya terdapat bantahan daripada pemilik-pemilik bersama yang lain, Pentadbir Tanah boleh membuat keputusan untuk menolak permohonan pecah bahagian tersebut sekiranya beliau berpuas hati dengan alasan-alsan bantahan yang dikemukakan.

ADVERTISEMENT

5. Tetapi sekiranya tiada bantahan di terima daripada pemilik bersama yang lain, maka Pentadbir Tanah boleh meluluskan permohonan pecah bahagian tersebut.

6. Sekiranya permohonan tersebut diluluskan, segala kos untuk urusan pecah bahagian hendaklah ditanggung oleh pemohon itu sendiri.

ADVERTISEMENT

7. Sekiranya pemohon tersebut tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Pentadbir Tanah menolak permohonan mereka, maka mereka boleh memfailkan permohonan di Mahkamah untuk mengarahkan permohonan pecah bahagia tersebut diluluskan.

8. Mahkamah juga boleh mengarahkan bahagaian yang tidak dipecah bahagi tersebut di pindah milik kepada pemilik bersama atau mengarahkannya dijual.

9. Apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah akan mengikat Pentadbir Tanah untuk melaksanakannya di bawah Seksyen 417 Kanun Tanah Negara.

Jadi kesimpulannya, jangan risau sekiranya pemilik bersama yang lain tidak bersetuju untuk buat pecah bahagian kerana anda masih boleh melakukannya walaupun tanpa persetujuan mereka.

Sekian, terima kasih,

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia
(K-LITERASI)

ADVERTISEMENT

Related articles