Bagaimana jena’zah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم disolatkan?
Pendapat yang kuat ialah pendapat yang mengatakan bahawat jena’zah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم disolatkan secara bersendirian, bukannya secara berjemaah.
Di dalam kitab al-Muwatta’ menyebut:
وَصَلَّى النَّاسُ عَلَيْهِ أَفْذَاذًا لاَ يَؤُمُّهُمْ أَحَدٌ
Maksudnya: Dan orang ramai mensolatkan Baginda sendiri-sendiri, seorang demi seorang. Tanpa ada seorang pun yang mengimamkan mereka. (Lihat al-Muwatta’, 1/316)
Begitu juga hal ini telah dinaskan oleh Imam al-Baihaqi, iaitu daripada Ibn Abbas, Ibn Sa’d daripada Sahl bin Sa’d dan daripada Ibn al-Musayyib dan lainnya.
Dalam riwayat al-Tirmizi, orang ramai bertanya kepada Abu Bakar رضي الله ﺗﻌﺎﻟﯽٰ عنه : “Adakah kita perlu solat ke atas jena’zah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم?” Maka jawab Abu Bakar: “Ya.” Mereka bertanya: “Bagaimana cara kita solat?” Jawab Abu Bakar: “Satu puak akan masuk. Mereka bertakbir dan solat serta berdoa. Kemudian puak yang lain masuk, mereka bertakbir, bersolat dan berdoa secara perseorangan.”
Syeikh Sofiyyurahman menyebut dalam al-Rahiq al-Makhtum: Orang ramai masuk ke dalam bilik secara bergilir-gilir, sepuluh orang untuk mensolatkan jena’zah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, tanpa seorang pun menjadi imam. Giliran pertama yang mensolatkan Baginda adalah pihak keluarga, kemudian disusuli oleh orang-orang Muhajirin dan kemudian orang-orang Ansar. Setelah kaum lelaki, giliran kaum wanita yang mensolatkan, kemudian disusuli oleh kanak-kanak.
Semua ini dilakukan sehari penuh, pada hari Selasa, hingga menginjak malam Rabu. Aisyah berkata: “Kami tidak mengetahui penguburan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم hingga kami mendengar suara cangkul di tengah malam Rabu.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 688)
Mengapakah Jena’zah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم Disolatkan Secara Bersendirian?
Para ulama mengemukakan pelbagai sebab mengapa jena’zah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم disolatkan secara bersendirian oleh para sahabat, antara :
1- Kerana para sahabat masih belum memilih khalifah.
Siapakah yang selayaknya untuk menjadi Khalifah, kerana sudah tentulah Khalifah yang datang selepas daripada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم itu yang sepatutnya menjadi imam untuk solat jena’zah
Al-Syarbini menukilkan daripada sebahagian ulama bahawa jika ada seorang sahabat yang menjadi imam, maka pastilah dia akan dikedepankan dalam semua perkara dan dia akan dilantik menjadi khalifah (sedangkan sahabat takut untuk menjadi khalifah). (Lihat Fath al-Qarib 1/476, Dar al-Kutub al-Islamiyyah].
2- Memulian Nabi صلى الله عليه وآله وسلم , kerana Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم itu adalah imam.
Daripada Ibn Sa’d, daripada Ali رضي الله ﺗﻌﺎﻟﯽٰ عنه, katanya: “Dia (Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم) adalah imam kamu sama ada pada masa hidup atau mati. Maka tiada seorang pun boleh mengatasinya.” Inilah yang dinyatakan oleh al-Zurqani. (Lihat Awjaz al-Masalik ila Muwatta’ Malik, 8/500)
Ya Allah, kami cintakan kepada rasul-Mu. Jadikanlah kami bersama mereka dalam syurga-Mu! Amin.

والله أعلمُ
Semoga perkongsian ini mendapat manfaat kita bersama. Kongsikan kepada keluarga dan sahabat-sahabat anda !
عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.
صحيح مسلم ، كتاب الإمارة ، باب فضل إعانة الغازي في سبيل الله بمركوب وغيره، وخلافته في أهله بخير ، حديث رقم 1893
Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata : Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.” (Hadis Riwayat Muslim : 1893)
Like dan Follow kami di @genganakmuda dan @viralmalaysiaku
Disediakan oleh : abunur@vmk
Rujukan : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan