Kisah Seorang Raja Dan Lelaki Tua Yang Sedang Menanam Sepohon Pokok Yang Tidak Akan Berbuah Kecuali Selepas 100 Tahun

Satu kisah yang pernah dikongsikan oleh Syeikh Dr. Usamah Sayyid Al-Azhari dalam khutbahnya.

Suatu hari seorang raja daripada Parsi berjalan bersama tentera pengiring. Dalam perjalanan itu, mereka melintasi seorang lelaki tua yang telah lanjut usianya.

Si tua itu sedang menanam sepohon pokok. Pokok itu tidak akan berbuah kecuali selepas seratus tahun.

Raja itu memberhentikan tenteranya, seraya menyapa lelaki tua itu:

“Aku lihat kamu hampir dengan ku’bur. Dekat dengan kematian. Tetapi kamu menanam pokok yang tidak akan berbuah kecuali selepas 100 tahun. Tinggi sungguh cita-cita kamu”.

Si tua itu seorang yang bijak bestari. Lalu dia berdiri dan menjawab pertanyaan raja tersebut:

“Semoga Allah سبحانه و تعالى memperelokkan keadaan raja. Sesungguhnya orang sebelum kita telah menanam, lalu kita telah menikmati hasilnya, dan memakannya. Kini kita pula menanam. Agar hasilnya dapat dinikmati oleh generasi selepas kita”.

Si Raja berkata “Bagus”. Dan menjadi kebiasaan, apabila baginda mengucapkan kata-kata seperti itu ( bagus) kepada seseorang, maka orang itu akan dikurniakan 1000 dirham.

Maka tentera yang mengiringi raja pun memberikan 1000 dirham kepada si tua itu.

Lalu lelaki itu berpaling kepada raya, seraya berkata: “Semoga Allah سبحانه و تعالى memperelokkan keadaan raja. Aku melihat Tuanku berasa pelik dengan pohonku dan kelewatannya berbuah. Sesungguhnya di saat ini jua, ia telah membuahkan 1000 dirham”.

Lalu raja berkata kepadanya “bagus”. Kemudian lelaki tua itu dikurniakan lagi 1000 dirham.

Lelaki tersebut berkata lagi kepada raja: “Semoga Allah سبحانه و تعالى memuliakan raja. Tuanku mempersoalkan kelewatan buah yang dikeluarkan oleh pohonku. Sesungguhnya di saat ini juga, ia telah berbuah dua kali.

Lalu raja tersebut berkata “bagus”. Lalu dikurniakan kepada lelaki tua itu 1000 dirham ketiga.

Kemudian berkata raja kepada pasukan pengiringnya: “Ayuh! Kita berangkat sekarang. jika kita masih bersama lelaki ini, nescaya tidak akan mencukupi baginya segala yang berada dalam khazanah kita”.

KESIMPULAN

Nah, inilah hakikat sebuah kehidupan. Apa yang kita kecapi dan nikmati hari ini, bukan semuanya apa yang kita usahakan. Mungkin ada juga adalah hasil keringat dan jasa yang ditanam oleh generasi sebelum kita.

Lantas apa pula jasa yang kita bakal tinggalkan untuk generasi sesudah kita.

Nabi صلى الله عليه وسلم ada berpesan:

إِنْ قَامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لاَ تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Maksudnya: Apabila hampir tibanya hari kiamat, sedang pada tangan kalian ada keratan pokok, maka jika dia mampu, hendaklah dia menanamnya sebelum kia’mat terjadi. (Hadis Riwayat Ahmad daripada Anas Bin Malik رضي الله عنه )

والله أعلمُ

Mudah-mudahan perkongsian ini mendapat manfaat kita bersama. Kongsikan kepada keluarga dan sahabat-sahabat anda !

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.

صحيح مسلم ، كتاب الإمارة ، باب فضل إعانة الغازي في سبيل الله بمركوب وغيره، وخلافته في أهله بخير ، حديث رقم 1893

Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata : Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.” (Hadis Riwayat Muslim : 1893)

Like dan Follow kami di @genganakmuda dan @viralmalaysiaku

Disediakan oleh : abunur@vmk

Related articles