Ikan Pari Masak Lada, Lauk Orang Melaka Yang Sedap Tapi Ramai Tak Tahu. Rugi Tak Cuba!

Ikan pari biasanya terkenal dengan masakan asam pedas khususnya di Melaka. Namun mungkin ada yang tidak tahu ikan pari juga boleh dimasak lada. Menurut Naros Naib, masak lada ikan pari merupakan lauk orang Melaka yang sedap namun tidak ramai orang yang mengetahuinya.

Masak lada rasanya seakan-akan asam pedas, yang membezakan ia sedikit berempah. Nak tahu cara buat masak lada ikan pari ini. Mari ikuti perkongisan resepi Naros Naib dibawah ini.

ARTIKEL BERKAITAN : Resepi Asam Pedas Melaka Asli. Ini ‘Rahsia’ Buat Kuah Pekat, Sedap & Padu

MASAK LADA IKAN PARI

Nak tau tak semalam Acik masak lauk apa? Acik masak Masak Lada. Lauk orang Melaka yang ramai tak tau. Mungkin sebab menu ni terlindung di belakang populariti asam pedas. Kasihan kan. Sedap, tapi tak ramai orang tau. Ni kirakan unsung hero lah.

Masak Lada ni seakan-akan rasa asam pedas tapi sedikit berempah sebab guna jintan manis, jintan putih, lada hitam dan ketumbar. Warnanya pula sedikit kecoklatan. Mungkin ada rasa macam asam pedas Johor yang masukkan lada hitam tu. Tapi, ni Acik agak-agak saja. Nak tau rasa sebenar masak lada ni, jomlah buat.

Meh Acik kongsi resipinya.

BAHAN-BAHAN :

  • 500gm Ikan pari
  • 4 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 inci kunyit hidup
  • Belacan (lebih kurang macam dalam gambar)
  • 2 batang serai
  • 3 helai daun limau purut
  • 2 sudu makan kerisik
  • 3 sudu makan cili kisar
  • 1.5 liter air asam jawa
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk perasa (pilihan)
  • Minyak untuk menumis
  • Bendi secukupnya

BAHAN YANG PERLU DISANGAI DAN DIKISAR HALUS :

  • 1 sudu makan jintan putih
  • 1 sudu makan jintan manis
  • 1 sudu makan lada hitam
  • 1 sudu makan biji ketumbar

CARA-CARA PENYEDIAANNYA :

Cara memasak ada pada gambar. Langkah demi langkah. Ikut saja. InsyaAllah jadi.

1. Cuci bersih ikan pari. Saya perapkan sekejap dengan asam jawa dan air limau kasturi untuk hilangkan hanyir.

2. Bawang merah, bawang putih, kunyit dan belacan ni tumbuk halus. Kalau nak kisar, boleh saja. Tak ada masalah.

Serai tu jangan dikisar. Cukup sekadar titik untuk keluarkan aromanya.

Daun limau purut pula siat-siatkan. Buang batang tengahnya.

3. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang sudah ditumbuk halus. Masukkan juga serai yang dititik.

4. Kacau kesemuanya sehingga naik bau dan hampir garing.

5. Apabila bahan tumisan sudah agak garing, masukkan rempah yang telah disangai dan dikisar halus. Saya kisar kasar-kasar sebab suka tekstur macam tu.

6. Kacau bahan-bahan tumisan hingga garing. Kemudian masukkan cili kisar dan kacau.

7. Apabila cili kisar hampir garing, masukkan daun limau purut. Kacau lagi.

8. Setelah cili cukup garing dan pecah minyak, masukkan pula air asam jawa. Kacau hingga semua sebati.

9. Apabila kuah telah mendidih, masukkan ikan satu persatu. Kacau lagi.

10. Tunggu sehingga kuah mendidih sekali lagi. Dari semasa ke semasa, kacau kuah perlahan-perlahan.

11. Setelah kuah mendidih sekali lagi, masukkan kerisik dan kacau.

*Sebenarnya resipi original masak lada ni tak guna kerisik. Sebaliknya guna kelapa bakar. Kepingan kelapa tua dibakar, kikis dan diparut atau dihiris halus. Lepas tu tumbuk halus jadi tekstur macam kerisik. Dah siap tu campur ke dalam kuah. Rasanya lagi sedap dan wangi.
*Saya gantikan dengan kerisik untuk memudahkan. Sekarang ni kan susah dah nak dapat kelapa. Lagipun, rasanya tak lah jauh lari. Masih ‘on point’.

13. Apabila kerisik dah mesra dalam kuah, masukkan garam dan bahan perisa (jika suka). Kacau lagi.

14. Akhir sekali, masukkan bendi. Kalau tak ada bendi, boleh juga masukkan terung. Biarkan selama kira-kira 2-3 minit. Saya suka bendi yang tak lembik, sebab tu tak biarkan lama sebelum tutup api. Terpulanglah kepada selera masing-masing.

* Sebelum tutup api, rasa kuah tu, cukup tak rasa garam, masam, rempah dan pedasnya. Kesemua rasa tu kena seimbang tau. Baru sedap. Hishh…kecur pulak air liur ni. Terbau-bau wangi daun limau purut bergabung dengan serai dan rempah-rempah tumis tu.

Dah siap. Masak Lada Ikan Pari Acik Naros. Nak lagi power, makan dengan ikan masin dan sambal belacan. Nasi habis seperiuk pun tak sedar tau. Punyalah kuat mandrem lauk ni. Tak percaya? Cuba buat. Selamat mencuba

Sumber/Foto : Naros Naib

والله أعلم بالصواب

Semoga perkongsian ini mendapat manfaat kita bersama. Kongsikan kepada keluarga dan sahabat-sahabat anda

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.

صحيح مسلم ، كتاب الإمارة ، باب فضل إعانة الغازي في سبيل الله بمركوب وغيره، وخلافته في أهله بخير ، حديث رقم 1893

Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy رضي الله عنه, beliau berkata : Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda : “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.” (Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 1893)

Like dan Follow kami di @viralmalaysiaku untuk artikel dan tips-tips menarik


Viral Malaysia Ku

Related articles