SESUNGGUHNYA, kebahagiaan adalah dambaan setiap manusia yang menghuni dunia ini. Sebab itu setiap orang sentiasa berusaha untuk mencari dan mendapatkan kebahagiaan dengan pelbagai cara.
Namun tidak semua manusia mampu mencapai impiannya atau memperoleh kebahagiaan yang dicari dan yang dicita-cita itu.
Lalu, di manakah terletaknya kebahagiaan itu? Apakah pada wang yang banyak, harta yang melimpah, emas yang bertimbun atau pada pangkat, bangsawan atau kerusi yang empuk?
Dalam hadis, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda :
Pasangan Yang Memberi Kebahagiaan
1. Dalam menerangkan tentang kebahagiaan, Rasulullah صلى الله عليه وسلم meletakkan isteri yang solehah sebagai elemen yang paling utama dalam mencapai ketenangan hidup.
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الهنيء
Maksudnya: “Empat daripada perkara kebahagiaan iaitu isteri (atau pasangan) yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik serta kenderaan yang tenang.” (Hadis Riwayat al-Hakim)
2. Pada hakikatnya, sifat soleh atau solehah tersebut bukan sekadar untuk dirinya sendiri sahaja bahkan seseorang itu seharusnya berupaya memberi ketenangan kepada pasangannya.
3. Ini selaras dengan fitrah yang diciptakan oleh Allah سبحانه و تعالى buat manusia. Al-Quran menjelaskan bagaimana setiap pasangan itu adalah tempat untuk seseorang memperoleh ketenangan jiwa.
Firman Allah سبحانه و تعالى :
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا
Maksudnya : “Dan di antara tanda kebesaran Allah, bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dalam kalangan kamu, supaya kamu memperoleh ketenangan dengannya.” (Surah al-Rum: 21)
4. Ketika penurunan wahyu pertama berlaku, Rasulullah صلى الله عليه وسلم pulang dalam keadaan cemas dan ketakutan. Bahkan Baginda mengadu kepada Saidatina Khadijah رضی اللہ عنھا tentang kebimbangannya terhadap dirinya sendiri. Ketakutan ini dileraikan dan ditenangkan oleh Saidatina Khadijah رضی اللہ عنھا .
5. Di sini jelas terpamer peranan Saidatina Khadijah رضی اللہ عنھا sebagai agen yang menyuntik ketenangan buat Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم . Saidatina Khadijah رضی اللہ عنھا bukan sahaja menyelimutkan Baginda, memujuk Nabi bahkan menyebutkan sifat-sifat baik memuji Rasulullah صلى الله عليه وسلم bagi menenangkan Baginda. Perhatikan bagaimana pasangan kita seronok ketika dipuji. Bukankah ia menyuntik kebahagiaan seketika?
6. Begitulah ketika kepulangan suami/isteru yang pulang dalam keadaan dirundung kebimbangan tidak seharusnya disambut dengan pertambahan kekusutan masalah yang lain sebaliknya ditenangkan kemelut pasangan tersebut.
7. Perkara yang sama turut dilakukan oleh Saidatina Ummu Sulaim رضی اللہ عنھا yang tidak menceritakan tentang kema-tian anaknya kepada suaminya Saidina Abu Talhah رضي الله عنه sehingga sesudah diselesaikan urusan Saidina Abu Talhah رضي الله عنه
Menurut riwayat al-Bukhari, Ummu Sulaim dikatakan menguruskan segala keperluan Abu Talhah dahulu dan mencari waktu yang sesuai untuk disampaikan berita sedih tersebut. Perhatikan bagaimana pasangan memainkan peranan penting dalam menghadapi kemelut domestik.
8. Atas dasar itu Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah. Mereka bukan sekadar menenangkan mata yang memandang bahkan menyejukkan jiwa yang kekusutan.
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya : “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
والله أعلمُ
Ya Allah kurniakan kami semua asbab kebahagian ini supaya kami dapat mempertingkatkan ketaqwaan dalam kehidupan. Amin
Mudah-mudahan perkongsian ini mendapat manfaat kita bersama. Kongsikan kepada keluarga dan sahabat-sahabat anda !
عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.
صحيح مسلم ، كتاب الإمارة ، باب فضل إعانة الغازي في سبيل الله بمركوب وغيره، وخلافته في أهله بخير ، حديث رقم 1893
Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata : Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.” (Hadis Riwayat Muslim : 1893)
Like dan Follow kami di @genganakmuda dan @viralmalaysiaku
Disediakan Oleh : abunur@vmk
Sumber : Dr Ahmad Sanusi