Berapa Lama Nabi Isa عليه السلام Akan Memerintah Di Bumi?

 

Antara peristiwa yang berlaku di akhir zaman ialah turunnya Nabi Isa عليه السلام dari langit ke bumi. Di dalam riwayat meyatakan Nabi Isa عليه السلام akan turun dari langit di Kota Damsyik di negeri Syria.

SOALAN :

Ada hadith yang sebut Nabi Isa عليه السلام akan tinggal dibumi selama 40 tahun dan ada hadith yang lain menyebut selama 7 tahun sahaja.

Mohon penjelasan dari ustaz mana satu yang sahih?

JAWAPAN :

Hadith yang menyebut Nabi Isa عليه السلام tinggal di bumi selama empat puluh tahun dan dan hadith yang menyebut selama tujuh tahun selepas turun dari langit adalah hadith yang sahih keduanya.

Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه Nabi صلى الله عليه وسلم telah bersabda :

يَلْبَثُ أَرْبَعِينَ سَنَةً , ثُمَّ يُتَوَفَّى صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , وَيُصَلِّي عَلَيْهِ الْمُسْلِمُونَ

Artinya : “Akan hidup Nabi Isa عليه السلام selama empat puluh tahun kemudian baginda diwa-fatkan dan sembahyang atasnya oleh sekelian Muslimun.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Ahmad dan Ibnu Hibban dan lainnya)

Dan diriwayatkan pula daripada Abdullah bin ‘Amr رضي الله عنه Nabi صلى الله عليه وسلم telah bersabda :

أَنَّهُ يَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ سَبْعَ سِنِينَ

Artinya : “Sungguhnya Nabi Isa عليه السلام tinggal di bumi selama tujuh tahun.” (Hadith riwayat Imam Muslim)

Para ulamak telah menghimpunkan kedua hadith ini dengan makna usia Nabi Isa عليه السلام sebelum diangkat kelangit ialah tiga puluh tiga tahun dan selepas turun semula ke bumi selama tujuh tahun maka jadilah jumlah usia baginda ialah empat puluh tahun.

Berkata Imam Ibnu Kathir :

اللَّهُمَّ إِلَّا أَنْ تُحْمَلَ هَذِهِ السَّبْعُ عَلَى مُدَّةِ إِقَامَتِهِ بَعْدَ نُزُولِهِ ، وَيَكُونُ ذَلِكَ مَحْمُولًا عَلَى مُكْثِهِ فِيهَا قَبْلَ رَفْعِهِ مُضَافًا إِلَيْهِ ، وَكَانَ عُمْرُهُ قَبْلَ رَفْعِهِ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ سَنَةً عَلَى الْمَشْهُورِ ، وَهَذِهِ السَّبْعُ تَكْمِلَةُ الْأَرْبَعِينَ ، فَيَكُونُ هَذَا مُدَّةَ مُقَامِهِ فِي الْأَرْضِ قَبْلَ رَفْعِهِ وَبَعْدَ نُزُولِهِ

Artinya : “Bahawasanya ditanggung akan pengertian tujuh tahun itu atas kadar tinggalnya di bumi selepas turunnya. Dan jadilah yang demikian itu yang ditanggungkan atas tinggalnya pada bumi sebelum angkat ke langit disandarkan kepadanya. Dan adalah usianya sebelum diangkat ke langit ialah tiga puluh tiga tahun atas pendapat yang masyhur. Dan tujuh tahun itu menyempurnakan akan empat puluh tahun. Maka jadilah ini (empat puluh tahun) masa tinggalnya di bumi sebelum angkat ke langit dan selepas turunya ke bumi.” (Kitab Al-Bidayah Wa An-Nihayah)

Dan berkata Syeikh Ibnu Hajar :

يُقيم سبع سِنِين ، كَمَا صَحَّ فِي حَدِيث مُسلم. وَلَا يُنَافِيهِ حَدِيث الطيالسي أَنه يُقيم أَرْبَعِينَ سنة. لِأَن المُرَاد مَجْمُوع لبثه فِي الأَرْض قبل الرّفْع وَبعده؛ فَإِنَّهُ رفع وَسنه ثَلَاث وَثَلَاثُونَ سنة “.انتهى، من “فتاويه

Artinya : “Tinggal Nabi Isa عليه السلام selama tujuh tahun sebagaimana terang pada hadith Muslim. Dan tidaklah berlawan dengan hadith At-Toyalisi baginda tinggal selama empat puluh tahun dari kerana sungguhnya yang dikehendaki ialah himpunan masa tinggalnya di bumi sebelum angkat ke langit dan selepasnya. Maka sungguhnya ketika Nabi Isa a.s. diangkat ke langit usianya ialah tiga puluh tiga tahun.” (Kitab Fatawa Ibnu Hajar)

Kesimpulannya hadith yang menyebut Nabi Isa عليه السلام tinggal dibumi selama empat puluh tahun tidak berlawanan denga hadith yang menyebut baginda tinggal selama tujuh tahun dari kerana yang dimaksudkan dengan empat puluh tahun itu ialah dicampur usia Nabi Isa عليه السلام sebelum diangkat ke langit dan selepas turun ke bumi.

Ketika diangkat ke langit usia baginda ialah tiga puluh tiga tahun dan selepas baginda turun ke bumi di akhir zaman nanti baginda sempat hidup selama tujuh tahun maka jadilah jumlah kesemua usia yang di lalui oleh baginda di bumi ialah empat puluh tahun.

wallahua’lam
ustaz azhar idrus

والله أعلمُ

Mudah-mudahan perkongsian ini mendapat manfaat kita bersama. Kongsikan kepada keluarga dan sahabat-sahabat anda !

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.

صحيح مسلم ، كتاب الإمارة ، باب فضل إعانة الغازي في سبيل الله بمركوب وغيره، وخلافته في أهله بخير ، حديث رقم 1893

Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata : Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.” (Hadis Riwayat Muslim : 1893)

Like dan Follow kami di @genganakmuda dan @viralmalaysiaku

Disediakan oleh : abunur@vmk
Sumber : Ustaz Azhar Idrus

Related articles