5 Makna Bahasa Bayi Yang Perlu Ibu Bapa Tahu
Bagi ibu bapa muda yang baru menimang cahaya mata pertama mesti merasa teruja dengan kehadiran permata hati dalam kehidupan ini.
Namun di sebalik keterujaan itu ada beberapa perkara yang ibu bapa perlu ambil tahu. Antaranya bahasa bayi. Pengetahuan ini akan dapat banyak membantu ibu dan ayah untuk lebih memahami si kecil.
Kaedah mengenali tangisan bayi mengajar ibu bapa untuk memahami tangisan bayi yang baru saja dilahirkan sehinggalah bayi berusia empat bulan. Bahasa bayi boleh dikategorikan kepada lima bunyi iaitu Neh, Owh, Eh, Eairh dan Heh.
5 BAHASA BAYI YANG PERLU IBU BAPA TAHU
Neh – Ia untuk menzahirkan rasa lapar dan bahasa ini akan keluar dari mulut bayi untuk memberitahu kepada ibu yang dia lapar.
Untuk mengenali bunyi ini, bayi akan menggunakan bahasa bayi Neh dengan beberapa kombinasi suara dan gerakan lidah bayi di bahagian langit-langit mulut. Bersama bunyi, bayi akan menggerak-gerakkan kepala ke kiri dan kanan sambil menjilat bibir atau menghisap tangannya. Apabila mendengar bayi menangis seakan bunyi Neh, ibu boleh menyusukan bayi mereka.
Owh – Sekiranya bayi menangis sambil membunyikan Owh, ia adalah bahasa untuk menunjukkan rasa mengantuk. Ini diikuti tindakan bayi menguap dan pergerakan mulut berbentuk bujur. Ada juga bayi yang menggaru mata, menarik cuping telinga dan menggeliat bagi menunjukkan rasa mengantuk.
Selepas mengetahui bayi anda sedang mengantuk, maka ibu boleh menidurkan anak dengan mudah tanpa perlu melakukan perkara lain terlebih dulu.
Eh – Ini merupakan bahasa bayi yang membawa maksud bayi minta disendawakan. Bunyi ini terjadi disebabkan berlaku kontraksi pada bahagian dada untuk mengeluarkan angin menerusi mulut. Jika dibiarkan, angin akan menekan ke bawah dan menimbulkan rasa sakit.
Bagi melihat dengan jelas keadaan bayi, biasanya bayi akan menggeliat ketika dibaringkan. Dada bayi menegang dan selepas disusukan biasanya mereka akan menangis tanda tidak selesa.
Eairh – Jika tangisan bayi berpanjangan diikuti bunyi Eairh menandakan ketidakselesaan pada perut atau kembung. Ini dapat dilihat apabila semua bahagian tubuh menjadi tegang dan kaku. Ada juga bayi mengangkat kaki ke arah perut diikuti tangisan yang semakin mengeras.
Heh – Ia bererti bayi berada dalam keadaan panas, sejuk, ruam atau lampin basah. Suara Heh kedengaran sangat jelas dan bayi biasanya akan berhenti menyusu apabila berasa tidak selesa.
Sumber : Ning Salmah