Orang dulu-dulu banyak mewariskan kita pelbagai ilmu-ilmu dalam menguruskan kehidupan seharian, antaranya petua-petua dapur.
Yang mana petua-petua ini masih diguna pakai ramai dalam kalangan kita. Ini bukan sekadar petua-petua biasa bahkan terbukti menjadi dan berkesan.
Berikut adalah 21 petua dapur orang dulu-dulu yang dijamin berkesan!
21 PETUA MASAKAN ORANG DULU-DULU
1. Santan Pecah Minyak
Suka guna santan dalam masakan? Anda pasti pernah mengalami pengalaman di mana santan menjadi pecah minyak dan berketul. Ia menyebabkan masakan anda kelihatan tidak menarik.
Untuk mengelakkannya berlaku, anda boleh cuba meletakkan senduk kayu di dalam periuk dengan menggunakan api perlahan. Cara ini dikatakan berkesan untuk mengelakkan daripada santan pecah minyak.
2. Tips Cekodok Lebih Rangup
Semasa sedang membancuh cekodok, letakkan segenggam nasi yang sudah dimasak ke dalam bancuhan tepung.
Ianya dapat melembutkan cekodok dan mengelakkan cekodok anda menjadi liat.
3. Cara Kekalkan Warna Hijau Sayur
Masukkan sedikit gula apabila sedang memasak sayur hijau seperti sawi, bayam dan lain-lain untuk mengekalkan warna hijau sayur.
4. Hilangkan Bau Hangit Nasi
Untuk menghilang bau hangit nasi, letakkan dua tangkai lada kering ke dalam periuk dan panaskan sekejap selama dua minit.
5. Petua Hilangkan Hanyir Ikan Dan Makanan Laut
Peram ikan yang telah dipotong dengan tepung gandum lebih 10 minit sebelum dimasak. Biar seluruh badan ikan tadi dibaluti tepung gandum.
6. Tips Acar Timun Rangup
Rebus hirisan timun dalam air garam selama hampir setengah jam sebelum dicampur dengan bahan lain seperti lobak, bawang dan campura air gula dan cuka secukup rasa.
7. Tauge Kekal Segar Selepas Beberapa Hari
Untuk memastikan tauge segar walaupun telah disimpan beberapa lama, masukkan tauge yang dibeli ke dalam air yang dicampur sedikit garam sebelum disimpan di dalam peti ais. Tauge akan segar dan tidak masam.
8. Petua Hilangkan Pahit Pada Sayur Peria
Potong sayur peria mengikut cita rasa anda kemudian cuci hingga bersih. Kemudian rendam sayur peria dengan sesudu besar garam selama 15 – 30 minit. Kemudian cuci sekali lagi dan bolehlah dimasak. Sayur peria itu akan hilang rasa pahitnya.
9. Cara Hilangkan Gatal Bila Makan Sayur Keladi
Potong keladi dan bersihkan. Panaskan air di dalam periuk sehingga mendidih dan masukkan beberapa keping asam gelugor. Kemudian masukkan keladi tersebut buat seketika dan toskan. Kemudian baru boleh dimasak.
10. Telur Tahan Lebih Lama
Bersihkan semua telur dan lapkan hingga kering. Kemudian simpan telur dalam bekas yang berisi beras pulut.
11. Cara Empukkan Daging
Cara melembutkan daging dalam masa yang singkat adalah dengan memasukkan sedikit cuka makan ke dalam periuk ketika merebus daging tadi. Daging akan menjadi empuk dalam masa yang singkat.
12. Peti Sejuk Berbau
Untuk menghilangkan bau yang kurang enak dari peti sejuk, letakkan arang di dalam peti sejuk. Baunya pasti akan hilang dalam beberapa hari.
13. Cara Buat Coklat Ganache Lebih Berkilat
Ketika sedang ‘double boiler’ coklat untuk membuat coklat ganache, letakkan sesudu mentega untuk menjadikannya lebih berkilat sebelum disapukan ke atas kek.
14. Memekatkan sup/kuah
Kadang-kadang kita terletak banyak air sehingga sup menjadi cair. Bagi memekatkan sup, masukkan sedikit kentang rebus yang dilecek.
15. Cara Hilangkan Tanda Hitam Pada Periuk
Masukkan sedikit serbuk penaik (baking soda bersama sedikit air. Biarkan beberapa jam. Kemudian bersihkan sedikit periuk seperti biasa. Dengan cara ini, tanda hangus akan hilang dan periuk akan menjadi bersih kembali.
16. Hilangkan Bendi Lendir
Untuk menghilangkan lendir bendi, caranya tidak susah. Cuma masakkan bendi seperti biasa. Sebelum diangkat, masukkan sekeping asam keping ke dalam kuali dan biarkan seketika. Buang asam keping tersebut apabila sayur hendak diangkat. Lendir pada bendi akan hilang serta-merta.
17. Cara Hilangkan Bau Cili Semasa Memasak
Bau cili amat menusuk hidung jika dimasak, kadang-kadang ia boleh memedihkan hidung kita. Untuk menggelakkannya daripada berbau, masukkan sehelai atau dua helai daun kari di dalam masakan anda, bau yang memedihkan tadi akan hilang selepas beberapa saat anda memasukkan daun kari.
18. Masakan Melekat Pada Kuali
Kuali yang baru dibeli selalunya akan melekat bila kita menggoreng sesuatu. Walaupun selepas disental beberapa kali ianya tetap melekat. Oleh itu apabila anda hendak menggoreng, masukkan sekeping asam keping ke dalam kuali setelah minyak dipanaskan. Selain daripada itu, kuali baru hendaklah selalu digunakan untuk menumis atau menggoreng.
19. Minyak Masak Berbau Tengik
Minyak yang telah digoreng boleh disimpan di dalam botol. Untuk mewangikannya, letakkan serai. Kemudian, boleh digunakan semula untuk menggoreng.
20. Pisang Cepat Busuk
Ambil secupak beras dan letakkan di dalam mangkuk yang besar, kemudian letakkan pisang (kambus pisang ke dalam beras tadi) letaklah selama mana yang anda suka sehingga pisang tadi hendak di gunakan, pisang tidak cepat busuk.
21. Petua Masakan Lebih Sedap
Petua orang tua-tua jika mahu masakan jadi lebih sedap, tuangkan air ke dalam lesung yang digunakan untuk menumbuk cili, kemudian masukkan air tersebut ke dalam masakan kita, pasti masakan akan jadi lebih sedap.
Sumber : RASA